Sosial

Matlamat program sosial Kumpulan Yayasan Sabah adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat negeri ini. Sabah adalah sebuah negeri sedang membangun yang memerlukan rakyatnya mempunyai kemahiran, pengetahuan dan kapasiti bagi menghadapi cabaran pembangunan dan globalisasi.

Pelbagai jenis program ditawarkan dalam memastikan pembangunan modal insan yang seimbang, khususnya dalam bidang pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan, pembangunan wanita dan pembangunan sosiobudaya. Antara lain program-program yang dilaksanakan adalah Program Pembangunan Masyarakat, Sukarelawan Yayasan Sabah dan Program Desa Cemerlang dan Berinovasi.

Program Pembangunan Masyarakat

Program Pembangunan Masyarakat (PPM) adalah inisiatif untuk memperkasa dan menjenama program Teras Zon yang sebelum ini dikenali sebagai Program Pembangunan Intelek dan Minda, Sosiobudaya dan Sosioekonomi dengan mewujudkan kumpulan fokus dalam kalangan sasaran pelbagai peringkat dan pelbagai dimensi di setiap daerah melalui konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Pemerkasaan program-program sedia ada dengan memberi penekanan kepada program nilai untuk wang akan membantu menghasilkan program-program yang berkualiti dan menepati kumpulan sasar. Program-program dibawah PPM dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, pihak swasta, NGO dan penyedia dana yang mempunyai kekuatan tersendiri dengan halatuju pembangunan masyarakat yang sama.

Program Pembangunan Masyarakat - Pembangunan Intelek dan Minda dilaksanakan melalui tiga peringkat iaitu peringkat tadika dan sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan tinggi dan pendidikan sepanjang hayat.

Melalui Bahagian Perkembangan Kanak-Kanak dan Pejabat-pejabat Zon, Kumpulan Yayasan Sabah menyediakan pakar dan sumber untuk pendidikan prasekolah di samping menjalankan program berbentuk tidak formal seperti ceramah motivasi dan pendidikan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah, menganjurkan kursus-kursus jangka pendek, seminar motivasi, latihan kemahiran dan program-program kesedaran kepada kumpulan sasar seperti belia, ibu bapa, wanita serta pengusaha kecil-kecilan.

Kumpulan Yayasan Sabah juga mengadakan kajian dari semasa ke semasa untuk mengkaji keberkesanan program yang dilaksanakan termasuk penilaian pencapaian pelajar dan persepsi masyarakat terhadap program prasekolah di kawasan luar bandar.

Program Pembangunan Masyarakat - Pembangunan Sosioekonomi bertujuan untuk membawa perubahan yang positif di kalangan penduduk tempatan daripada sikap bergantung dengan bantuan kerajaan kepada sikap berdikari (mandiri).

Program yang dijalankan oleh Pejabat-pejabat Zon dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melibatkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pertanian, perikanan, kraftangan, inapan desa (homestay), penjenamaan dan pembungkusan produk buatan sendiri.

Program-program ini diadakan bagi membantu rakyat mendapat pengalaman nilai tambah untuk mendapatkan penempatan pekerjaan serta keupayaan untuk menjana pekerjaan sendiri dan pertumbuhan ekonomi.

Program ini juga melaksanakan kajian yang bertujuan untuk memperbaiki tahap pendapatan dan taraf kehidupan rakyat. Antara kajian yang telah dilaksanakan termasuklan penilaian mengenai Dana Pembangunan Wanita, kajian mengenai pengeluaran dan pemasaran produk kraftangan di Sabah, pengeluaran rumpai laut di Kg. Look Buton, Pulau Bum-Bum dan kesannya terhadap kemiskinan di kalangan masyarakat tempatan selain kajian keberkesanan program Kerajaan Negeri mengenai pengagihan pakaian seragam untuk pelajar sekolah rendah di negeri ini.

Program Pembangunan Masyarakat - Pembangunan Sosiobudaya bertujuan untuk membentuk pemikiran individu yang berfikiran positif, beretika dan bermoral tinggi serta mempunyai harga diri (self-esteem). Dalam konteks yang lebih luas, usaha ini dapat menyumbang bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi juga dalam aspek kerohanian dan psikologi.

Program-program yang dilaksanakan adalah gotong-royong, karnival sukan, majlis berbuka puasa, kempen derma darah dan juga pelbagai aktiviti keagamaan. Program-program seperti ini diharap dapat membantu mewujudkan masyarakat yang mementingkan agama, bertoleransi dan prihatin.

Kajian yang dilaksanakan adalah untuk menggalakkan aktiviti kebudayaan. Antara kajian yang dilaksanakan ialah pendokumentasian pakaian tradisional di Sabah dan potensi pasarannya di samping kajian etnografi masyarakat Murut di Kg. Inarad, Tongod.

Sukarelawan Yayasan Sabah

Program Sukarelawan Yayasan Sabah bertujuan bagi menyebarluas peranan Kumpulan Yayasan Sabah menerusi pewujudan sukarelawan yang sedia membantu dalam pelaksanaan program Kumpulan Yayasan Sabah di samping menyampaikan fakta dan maklumat yang tepat kepada rakyat.

Selain itu, penubuhan Sukarelawan Yayasan Sabah dapat meningkatkan imej Kumpulan Yayasan Sabah di kalangan rakyat Negeri Sabah menerusi pelaksanaan pelbagai jenis program yang dapat menangani pelbagai masalah rakyat di seluruh pelosok Sabah.

Inisiatif ini dapat mewujudkan semangat sukarelawan di kalangan belia-beliawanis demi menjalankan kerja-kerja amal bakti kepada masyarakat serta mewujudkan semangat setiakawan di antara Kumpulan Yayasan Sabah dengan agensi-agensi lain di Negeri Sabah khususnya dalam program/projek berasaskan komuniti.

Ia juga merupakan usaha untuk memperkasakan program kemasyarakatan di peringkat Zon. Kewujudan pasukan sukarelawan akan bergerak bersama di Pejabat-pejabat Zon bagi membantu mempercepatkan proses pelaksanaan program baik dalam program kemasyarakatan, seminar atau kursus kemahiran mahupun dalam keadaan ekstrem seperti bencana alam atau program seminar dan kemasyarakatan lain. Pada masa yang sama, inisiatif ini akan menjadi pemangkin berkembangnya kegiatan tersebut di kalangan agensi lain dan individu di negeri ini.

Program Desa Cemerlang dan Berinovasi

Program Desa Cemerlang dan Berinovasi (PDCB) merupakan salah satu program di bawah inisiatif Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah (2013-2023). PDCB adalah satu usaha pembangunan desa yang komprehensif dengan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan secara holistik melalui pemberdayaan dan pemerkasaan masyarakat luar bandar.

Enam buah kampung terpilih dalam program ini, iaitu Kg. Pandasan, Kota Belud; Kg. Lambidan, Kuala Penyu; Kg. Singgaron Baru, Ranau; Kg. Sebait, Sandakan; Kg. Sinaron, Keningau dan Kg. Lormalong, Kunak. Untuk memastikan program ini dilaksanakan dengan jayanya, Kumpulan Yayasan Sabah menggunakan sumber-sumber dalaman secara optimum, bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan, membangunkan sumber tempatan dan modal insan serta mewujudkan aktiviti ekonomi yang baru.
Aktiviti

Sosial

  • Program Pembangunan Masyarakat
  • Pejabat Zon
  • Penyelidikan Program-program Sosioekonomi
  • Pembangunan Kapasiti
  • Pendidikan
  • Perkembangan Kanak-Kanak
  • Kolej Teknikal Yayasan Sabah
  • University College Sabah Foundation
  • Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd. Fuad Stephens
  • Galeri Tun Mustapha
  • Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Komersial

  • Innoprise Corporation Sdn. Bhd.
  • Pelancongan
  • MICE
  • Perladangan
  • Perhutanan
  • Bioteknologi dan Hortikultur
  • Perikanan
  • Pembangunan Hartanah
  • Minyak dan Gas
  • Pengangkutan
  • Perkilangan
  • Syarikat Luar Negara

Tanggungjawab Sosial Korporat

  • Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar
Hubungi Kami

Telefon: +(60) 88 326300
Faksimile: +(60) 88 326424
Emel: ysinfo@ysnet.org.my
Alamat: Menara Tun Mustapha
Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah
Teluk Likas
Peti Surat 11623
88817 Kota Kinabalu
Sabah, MALAYSIA