Perladangan Agro
Benta Wawasan Sdn. Bhd. (BWSB), terlibat dalam perindustrian kelapa sawit di Tawau. Jumlah kawasan yang ditanam dengan kelapa sawit sehingga di penghujung tahun 2016 ialah 27,408 hektar. Dari segi taburan kematangan pokok-pokok kelapa sawit, seluas 25,323 hektar atau 92% daripada pokok-pokok yang ada telah mencapai tempoh matang.

Kilang kelapa sawit pertama BWSB iaitu Kilang Kelapa Sawit Seraya (KKSS) telah memulakan operasi pada bulan Januari 2014 dengan kapasiti pemprosesan pada kadar 45 tan metrik sejam. Kapasiti pemprosesan KKSS sedia ada akan ditingkatkan kepada 60 tan metrik sejam (MT/H) bagi meningkatkan nilai pulangan jualan syarikat. Melalui kilang Kelapa Sawit Seraya, BWSB mampu memproses 96,970 tan metrik minyak mentah kelapa sawit (CPO) dan 22,058 tan metrik isirong.

Pencapaian pengeluaran buah tandan segar perladangan BSWB adalah 330,002 tan metrik pada tahun 2016.

Sabah Softwoods Berhad (SSB), ditubuhkan pada tahun 1973 sebagai syarikat usaha sama dengan kini pemilikan 70% oleh Kumpulan Yayasan Sabah. Perladangan kayu industri dan kelapa sawit merupakan aktiviti utama syarikat ini. Manakala dari segi aktiviti hiliran, SSB turut mengusahakan kilang minyak kelapa sawit dan operasi kilang serpai. Dengan mempunyai kawasan seluas 60,600 hektar di Tawau iaitu di Brumas (41,500 hektar) dan Kalabakan (19,100 hektar), SSB telah membuka peluang perniagaan komersial yang berdaya maju khususnya dalam sektor perladangan kayu dan kelapa sawit.

Pada masa ini, lebih kurang 27,000 hektar tanah milik SSB telah ditanam dengan kelapa sawit. SSB bercadang untuk memperluaskan kawasan kelapa sawit sehingga 33,000 hektar. Kawasan ladang kelapa sawit telah dianugerahkan pensijilan Kelestarian Minyak Sawit Malaysia (MSPO) pada tahun 2016. Standard ini memberi pengiktirafan kepada keperluan pengeluaran yang mapan di sepanjang rantaian bekalan dengan menambahbaik dan mengekalkan amalan operasi. Dengan pensijilan MSPO, sektor kelapa sawit di SSB telah mencapai keperluan dan ekspektasi pasaran berasaskan komitmen syarikat untuk menghasilkan produk yang mapan.

Kilang Minyak Mentah Kelapa Sawit (CPO) Dumpas merupakan kilang CPO pertama SSB. Kilang yang merupakan usaha sama di antara SSB dan Regional Harvest Sdn. Bhd. mempunyai keupayaan mengendalikan 60 tan metrik Buah Tandan Segar (FFM) sejam. Kilang kedua SSB iaitu CPO Kapilit telah memulakan operasinya pada bulan Jun 2010 dengan keupayaan pemprosesan kapasiti 90 tan metrik sejam sejak 2013.

Kompleks Kilang Kapilit terus memperbaiki keupayaan dengan menambah Dried Long Fibre Plant dan mewujudkan loji biogas dengan kapasiti 1MW, yang boleh dikembangkan kemampuannya kepada 3MW. Kilang tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Sabah dan kedua di Malaysia yang telah mencapai kesemua keperluan perlesenan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Kilang Serpai SSB mula beroperasi pada tahun 1998 dan aktiviti ini telah menjadikan SSB sebagai pembekal utama kayu serpai dari Malaysia. Kapasiti kilang adalah 200,000 Bone Dry Metric Tons (BDMT) setahun. Kilang serpai ini telah dianugerahkan pensijilan Chain-of-Custody (COC) bagi pengilangan produk kayu serpai jenis Acacia mangium dengan jaminan pengeluaran produk yang diiktiraf dengan pensijilan Forest Stewardship Council (FSC).

SSB merupakan syarikat perladangan kayu industri terbesar di Malaysia dengan pensijilan FSC yang meliputi kawasan seluas 27,303 hektar. Pensijilan FSC yang diiktiraf seluruh dunia adalah pengakusaksian ke atas amalan pengurusan yang baik seperti perlindungan persekitaran, penjagaan hutan konservasi yang baik dan menjaga kebajikan sosioekonomi pekerja dan komuniti tempatan secara jangka panjang.

SSB menyokong dan mengamalkan tanggungjawab sosial korporatnya dengan dana berjumlah RM180 juta telah dibelanjakan semenjak 2005 bagi kemudahan perumahan dan infrastuktur. Sebagai pengiktirafan kepada usaha SSB, Ladang Cenderamata dan Ladang Brumas telah menerima anugerah Ladang Bahagia di peringkat kebangsaan untuk tahun 2009 dan 2011 masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.softwoods.com.my

SAMEL Plantation Sdn. Bhd., merupakan usaha sama di antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Yayasan Melaka melalui subsidiari milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah iaitu B.W. Plantation Sdn. Bhd. Setakat ini, syarikat ini sedang mengusahakan 5,380 hektar ladang kelapa sawit yang terletak di Tawau.

Innoprise Plantations Berhad (IPB) disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 3 Julai 1996. Melalui anak syarikat milik penuhnya, Serijaya Industri Sdn. Bhd., IPB sedang membangunkan 22,763 hektar tanah perhutanan agro yang terletak di Luasong, Tawau sebagai ladang kelapa sawit.

Berpegang kepada keperluan model pembangunan mapan alam sekitar yang ketat, di mana kawasan curam melebihi 20 darjah serta rizab riparian tidak disentuh sebagai jaminan kepada kawasan pemuliharaan biodiversitinya, hanya 12,619 hektar kawasan boleh tanam untuk tujuan ini.

Kawasan seluas 11,458 hektar telah ditanam dengan kelapa sawit di mana 5,401 hektar sudahpun matang.

Syarikat ini juga telah memulakan operasi kilang minyak sawit untuk pengeluaran 60 tan metrik sejam Buah Tandan Segar (FFM).

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.innoprise.com.my

Hap Seng Plantations Holdings Berhad (HSPHB) merupakan syarikat perladangan kelapa sawit yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia dengan modal berbayar sebanyak RM800 juta. Kumpulan Yayasan Sabah melalui ICSB merupakan pemegang 15% ekuiti HSPHB. Pelaburan di dalam HSPHB merupakan suntikan 30% ekuiti Jeroco Plantations Sdn. Bhd dan pembelian syer tambahan HSPHB.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.hapsengplantations.com.my
Aktiviti

Sosial

  • Program Pembangunan Masyarakat
  • Pejabat Zon
  • Penyelidikan Program-program Sosioekonomi
  • Pembangunan Kapasiti
  • Pendidikan
  • Perkembangan Kanak-Kanak
  • Kolej Teknikal Yayasan Sabah
  • University College Sabah Foundation
  • Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd. Fuad Stephens
  • Galeri Tun Mustapha
  • Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Komersial

  • Innoprise Corporation Sdn. Bhd.
  • Pelancongan
  • MICE
  • Perladangan
  • Perhutanan
  • Bioteknologi dan Hortikultur
  • Perikanan
  • Pembangunan Hartanah
  • Minyak dan Gas
  • Pengangkutan
  • Perkilangan
  • Syarikat Luar Negara

Tanggungjawab Sosial Korporat

  • Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar
Hubungi Kami

Telefon: +(60) 88 326300
Faksimile: +(60) 88 326424
Emel: ysinfo@ysnet.org.my
Alamat: Menara Tun Mustapha
Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah
Teluk Likas
Peti Surat 11623
88817 Kota Kinabalu
Sabah, MALAYSIA