Pendidikan
Program pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah bertujuan menokok tambah dan melengkapkan aktiviti-aktiviti kerajaan dalam meningkatkan kualiti dan kemudahan pendidikan untuk rakyat di Sabah. Program ini pada dasarnya meliputi pendidikan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan juga pengajian tinggi. Kumpulan Yayasan Sabah juga memberikan bantuan kewangan untuk pelajar di peringkat menengah dan pengajian tinggi.

Perkembangan Kanak-Kanak
Kumpulan Yayasan Sabah merupakan salah satu peneraju pembangunan pendidikan di Sabah dengan usaha yang bermula di peringkat prasekolah. Kumpulan Yayasan Sabah melalui Bahagian Perkembangan Kanak-Kanak menawarkan program prasekolah seperti taska, tadika kelas transisi di samping prasekolah luar bandar. Dengan objektif untuk memastikan peningkatan pendidikan prasekolah dan pertumbuhan serta perkembangan awal kanak-kanak (1-12 tahun) khususnya di negeri Sabah. Pada masa ini, Kumpulan Yayasan Sabah mempunyai 13 buah tadika luar bandar di Sabah.

Antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan adalah tuisyen untuk sekolah rendah, program cuti sekolah dan program sokongan untuk kanak-kanak tadika/sekolah rendah.

Sejak tahun 2000, Kumpulan Yayasan Sabah telah menerbitkan buku bacaan/bergambar kanak-kanak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (rumi, jawi dan terjemahan dalam Bahasa Arab). Pada tahun 2012, DVD koleksi lagu kanak-kanak telah dihasilkan. Manakala pada tahun 2013, Buku Panduan Penubuhan Pusat Prasekolah diterbitkan.

Biasiswa dan Pinjaman
Usaha Kumpulan Yayasan Sabah dalam pembangunan pendidikan tidak terhad kepada pendidikan awal kanak-kanak sahaja. Sejak 1968, Kumpulan Yayasan Sabah menyediakan bantuan kewangan yang merangkumi biasiswa dan pinjaman untuk pendidikan menengah dan tinggi, Biasiswa Pendidikan Menengah Yayasan Sabah, Biasiswa Sekolah Menengah Semenanjung Malaysia dan Program Pertukaran Pelajar Sabah/Sarawak.

Kumpulan Yayasan Sabah juga menawarkan biasiswa Pendidikan Sekolah Menengah kepada pelajar kurang berkemampuan tetapi memperolehi keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian di sekolah-sekolah terpilih di Semenanjung Malaysia.

Di bawah Program Pertukaran Pelajar Sabah/Sarawak pula, Kumpulan Yayasan Sabah menawarkan biasiswa kepada pelajar dari Sarawak untuk meneruskan pengajian di sekolah-sekolah berasrama terpilih di Sabah, manakala Yayasan Sarawak menawarkan biasiswa yang sama kepada pelajar dari Sabah untuk meneruskan pengajian sekolah menengah di Sarawak.

Biasiswa dan pinjaman pengajian ditawarkan kepada pelajar berdasarkan kepada pencapaian akademik mereka untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi dalam bidang terpilih yang ditentukan berdasarkan keperluan tenaga kerja di negeri Sabah dari semasa ke semasa.

Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah pula ditawarkan kepada pelajar-pelajar dari Sabah yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada kejayaan pelajar-pelajar berkenaan dan juga untuk memberi motivasi kepada mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM.
Program Kaunseling dan Kerjaya
Program ini dianjurkan pada setiap tahun melalui seminar, bengkel dan perkhemahan di tempat-tempat yang terpilih di seluruh negeri Sabah. Kumpulan sasar terdiri daripada pelajar, guru-guru, ibu bapa dan orang ramai. Penceramah dari institusi pengajian tinggi dan lain-lain agensi dijemput untuk memberi ceramah berkaitan motivasi, komunikasi berkesan, pembuatan keputusan dan pemilihan kursus pengajian yang bersesuaian untuk kumpulan sasar.

Asrama
Sejak 1972, Kumpulan Yayasan Sabah telah membina asrama di seluruh negeri Sabah untuk membolehkan pelajar dari kawasan luar bandar meneruskan pembelajaran mereka di kawasan bandar. Ketika ini terdapat tiga buah asrama yang disediakan oleh Kumpulan Yayasan Sabah iaitu Asrama Daerah Sipitang, Keningau dan Tawau. Namun demikian, kawasan luar bandar kini telah banyak melalui perubahan dari segi infrastruktur seperti sistem jalan raya yang telah dinaiktaraf dan juga pembinaan sekolah-sekolah. Keadaan ini menyebabkan asrama yang masih beroperasi telah dikurangkan kepada tiga buah sahaja.

Kumpulan Yayasan Sabah mempunyai bangunan asrama di Alexandria dan Kaherah, Mesir sebagai kemudahan penginapan untuk pelajar Sabah yang sedang menuntut di Negara Timur Tengah.

Kolej Teknologi Yayasan Sabah
Ditubuhkan dengan misi sebagai platform pembelajaran sepanjang hayat kini sedang menuju ke arah menjadi pusat latihan akademik dan vokasional di rantau ini.

KTYS ditubuhkan dengan objektif untuk menawarkan kursus berkaitan industri; menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar di kawasan luar bandar; melahirkan pelajar yang kompeten dan juga untuk menyediakan sumber manusia yang mahir selaras dengan keperluan negara.

Bagi mencapai objektif tersebut, perkongsian pintar dengan pakar industri yang berkaitan, institusi pendidikan dan latihan diwujudkan. Bagi pembangunan modal insan, KTYS bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan dalam memenuhi keperluan pasaran kerja.

Sehubungan dengan itu, KTYS telah mengambil pendekatan baru dalam pendidikan dengan mengguna pakai pendekatan yang berasaskan latihan kompetensi dengan menyediakan latihan pelajar dan menempatkan mereka di pasaran kerja. Objektifnya adalah untuk melahirkan lebih ramai pekerja berpengetahuan dan juga untuk memenuhi permintaan industri.

Program Sijil Kemahiran Malaysia yang ditawarkan ialah Kewangan dan Perniagaan, Teknologi Automotif, Jurubina Bangunan, Seni Kulinari, Pembuatan Pastri, Teknologi Kimpalan, Juruteknik Elektrik serta Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.

Program Diploma Akademik yang ditawarkan ialah Teknologi Binaan Bangunan, Teknologi Automotif, Teknologi Elektrik, Pengurusan Perniagaan, Pengurusan Teknologi (kerjasama dengan Univesiti Teknologi Malaysia (UTM), Pengurusan Teknologi [Perakaunan] (kerjasama dengan UTM), Pengurusan Harta Tanah (kerjasama dengan UTM), Sains Komputer [Maklumat Teknologi] (kerjasama dengan UTM), Kewangan Syariah (kerjasama dengan KUIM) dan Pengajian Islam dengan Pembangunan Sumber Manusia (kerjasama dengan KUIM). Di samping itu, KTYS juga menawarkan program Asasi Sains hasil daripada kerjasama diantara Yayasan Sabah bersama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Selain itu KTYS turut menawarkan program sijil dan kemahiran dengan kerjasama JPKM iaitu Kewangan dan Perniagaan, Kejuruteraan Awam, Teknologi Automotif, Juruteknik Elektrik, Hospitaliti dan Pelancongan, Teknologi Kimpalan serta Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara.

Semua program diploma akademik yang dijalankan di KTYS diiktiraf sepenuhnya oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA); manakala program kemahiran vokasional yang dijalankan mendapat kelulusan Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ktys.edu.my atau laman Facebook kami di www.facebook.com/ktyssabah

University College Sabah Foundation
Seiring dengan pembangunan Negeri Sabah menjadi sebuah negeri maju, pendidikan turut menjadi keutamaan bagi kebanyakan ibu bapa dan pelajar. Penubuhan University College Sabah Foundation (UCSF) menambah kepada kejayaan Kumpulan Yayasan Sabah dalam mengembangkan peranannya dalam bidang pendidikan. Dijenamakan sebagai "Universiti Hijau", UCSF percaya bahawa generasi akan datang perlu bergantung kepada pemahaman yang mendalam tentang isu-isu semasa yang saling berkaitan dan menggunakannya sebagai panduan ke arah pembangunan mapan.

UCSF menawarkan pelbagai program akademik dan latihan yang penting kepada ekonomi Sabah dan Malaysia. Sebanyak 17 program ditawarkan di bawah empat fakulti yang tersendiri: Fakulti Perniagaan dan Keusahawanan, Fakulti Seni Kreatif dan Multimedia, Fakulti Sains Semula Jadi, dan Kemapanan dan Fakulti Pembangunan dan Pengajian Pelbagai Budaya.

Program-program yang ditawarkan termasuklah kursus asasi, diploma dan ijazah. Di samping itu, UCSF juga menawarkan Asasi Sains serta Ijazah dalam Konservasi dan Pengurusan Sumber Mapan.

UCSF menawarkan pendidikan yang menarik, relevan dan kontemporari. Pelajar-pelajar dibekalkan dengan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat abad ke-21, di mana mereka belajar untuk mencari dan mentafsirkan maklumat, melibatkan diri sebagai warga global yang altruistik, lengkap dengan pengetahuan dalam pelbagai disiplin untuk menjadi seorang profesional serba boleh.

Pendekatan pembelajaran di UCSF adalah kontemporari dengan menggabungkan pembelajaran secara konvensional dan on-line bagi memenuhi keperluan semasa golongan belia yang celik teknologi. Bengkel dan latihan yang diadakan melibatkan rakan institusi dan perindustrian serta sekutu profesional UCSF.

Terletak secara strategik di Sembulan, di tengah-tengah Bandar Raya Kota Kinabalu, UCSF menawarkan persekitaran kampus yang kondusif dan moden dengan kemudahan yang lengkap dan sebuah asrama yang terletak hanya bersebelahan dengan kampus utama.

UCSF berhasrat untuk menjadi sebuah institusi butik pengajian tinggi yang menawarkan program-program pengajian dan penyelidikan yang memberi tumpuan kepada kepelbagaian biologi, alam sekitar dan pemuliharaan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ucsf.edu.my atau lawati laman rasmi facebook kami di www.facebook.com/ucsfmalaysia

Aktiviti

Sosial

  • Aktiviti Zon
  • Pembangunan Kapasiti
  • Pendidikan
  • Perkembangan Kanak-Kanak
  • Kolej Teknologi Yayasan Sabah
  • University College Sabah Foundation
  • Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd. Fuad Stephens
  • Penyelidikan Program-program Sosioekonomi
  • Galeri Tun Mustapha
  • Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Komersial

  • Innoprise Corporation Sdn. Bhd.
  • Pelancongan
  • MICE
  • Perladangan Agro
  • Perhutanan
  • Bioteknologi dan Hortikultur
  • Perikanan dan Industri Makanan
  • Pembangunan Hartanah
  • Minyak, Gas & Tenaga
  • Perkilangan

Tanggungjawab Sosial Korporat

  • Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar
Hubungi Kami

+(60) 88 326300
+(60) 88 326424
ysinfo@ysnet.org.my
Menara Tun Mustapha
Kompleks Ibu Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah
Teluk Likas
Peti Surat 11623
88817 Kota Kinabalu
Sabah, MALAYSIA